/**/
Subscribe Twitter

Keretaku Hartaku


Harta kesayanganku...



Dah lama cerita ni aku nak karang tapi tak terkarang-karang. Bukan nak riak tapi nak tulis di sini sebagai ingatan dan kenangan biar anak cucu semua tau salah silah harta yang aku ada ni. Sekurang-kurangnya jadi pemangkin untuk diaorang berusaha berdikari macam mana yang aku buat dulu. Bukan senang nak senang. Perlu berusaha, usaha dan terus usaha tanpa jemu.

Dari zaman remaja lagi aku dah berangan nak ada kereta yang aku beli sendiri dan kereta tu milik aku (daftar atas nama aku). Alhamdulillah tercapai semuanya.






Aku abadikan kat sini biar aku sentiasa ingat semua kereta tu. Ni pun dah ada yang lupa sikit-sikit. Meh skodeng kereta yang pernah dan sedang aku miliki mengikut turutan. Cewah, gitew sekali ayat melankolik haha...

Nasib baik sempat ambil gambar kereta-kereta tu semua.



1) Toyota GL (Maroon) - Manual





Tak berapa nak ingat Toyota GL atau Toyota XL. Tapi aku beli kereta ni melalui kawan ofis aku. Dia rekomen kat kedai yang selalu dia beli. Harga RM5000. Aku tergerak nak beli kereta ni bila bak aku nyatakan hasratnya nak buat bines jual air dan sarapan pagi kat ofis aku bekerja dulu sebab dia bosan tak da buat apa kat rumah.

Aku tak da duit simpanan yang cukup masa tu dan kalau bole aku tak nak berhutang bayar tiap bulan di kedai atau bank sebab aku risau tak mampu nak bayar. Maklum kerja dulu gajinya sikit ja tapi aku bersyukur cukup untuk kami sekeluarga dan hepi sentiasa (mak dan bak duduk sekali dengan aku). Masa ni aku tengah mengandung anak sulung.

Bila bak dah selalu cakap, aku pun mencuba nasib bertanya sepupu aku, nak pinjam duit sebanyak RM2000. Bila aku terangkan kenapa aku nak pinjam dan akan pulangkan semula dalam masa 3 bulan, masa tu jugak dia bagi terus RM5000 untuk beli kereta tu.

Pertama kali dalam hidup berhutang / pinjam dengan orang. Walau pun malu tapi tebalkan muka bertanya demi memenuhi hasrat dan impian bak.

Aku terkedu dan bersyukur atas kepercayaan sepupu dan isterinya waktu tu. Ya Allah, sebaknya aku rasa masa tulis ni sebab teringat arwah sepupu ku itu. Semuga roh arwah bak, arwah mak dan arwah abg man dan arwah khalid di tempatkan di kalangan orang-orang yang beriman. Amin...

Bila dapat je kereta tu, bak mula jalankan bisnes dan mak masak nasi lemak dan buat air kopi seawal jam 3 pagi. Kalau rajin, bak buat karipap pusing. Sedap yang amat. Lepas subuh bak dah keluar pergi ofis aku untuk berjual. Alhamdulillah, bisnes bak berjalan lancar dan aku dapat bayar hutang sepupu aku tu dalam masa sebulan ja. Selang dua bulan lepas tu dia meninggal sebab kemalangan.

Tak ingat berapa tahun aku pakai kereta ni cuma yang aku ingat hanya sekali ja kereta ni rosak waktu awal beli (enjin mati tengah jalan). Bak memang seorang yang pembersih. Dia memang jaga kereta ni, tiap hari bersihkan, kotor sikit ja dia basuh, calar sikit ja dia baiki.

Walau kereta lama dan second hand tapi bila arwah bak jaga, memang cantik berkilat. Luar dalam bersih sebab arwah bak memang pantang orang makan atau minum dalam kereta. Nak makan boleh tapi kalau tumpah sikit ja, siap la telinga eh, kena bebel haha.



2) Proton Wira 1.3 (Biru) - Manual





Bila gaji dah besar sikit dan kehidupan selesa sikit, aku decide nak tukar kereta lain. Bincang dengan semua, hubby dan bak setuju. Mak kurang setuju sebab mak tak nak berhutang. Mak aku ni memang seorang yang teliti dan berfikiran ke depan. Dia akan kaji dan fikir apa akan jadi sekian, sekian, kalau ada benda yang kitaorang discuss. So terencat kejap nak beli kereta baru sebab ada betolnya apa yang mak hujahkan tu.

Selang sebulan masa nak ke shoping complex, sempat jengah kedai kereta second kat tempat aku beli kereta Toyota tu. Tengok punya tengok tetiba aku macam terbekenan dengan kereta wira biru yang ada kat situ. Hubby, mak, bak pun suka tapi kitaorang masih berfikir-fikir lagi. Tup-tup masa nak balik, anak sulung aku (masa tu 3 tahun kot), berjalan ke kereta wira tu dan bila aku buka pintu, dia masuk dalam kereta dan lonjak-lonjak dalam tu. Bila tanya suka ke? Dia angguk dan tak nak keluar dari kereta.

Rentetan dari kesukaan dia tu la, kitaorang decide ambil kereta tu sebab bulanan mampu dibayar dan kereta toyota tu kedai ambil tinggi jugak nilainya sebab keadaan kereta tu yang elok terjaga.

Kereta ni lagi la bak sayang sebab cantik dan masa tu proton wira baru dikeluarkan so kira kereta baru la jugak tu. Memang bak tatang macam minyak yang penuh la kereta ni. Dia memang tak pernah hantar kedai basuh kereta sebab dia kata tak bersih, membazir dan lagi satu bila basuh kereta, macam bersenam jugak la sebab keluar peluh katanyer. Bak memang seorang yang cerewet.

Ada sejarah sendiri kereta ni tau. Ada satu ketika tu, kitaorang pergi jemputan kawin, masa tu hujan lebat dan jalan Ungku Mohsin banjir tak bole lalu. Hanya kenderaan tinggi macam lori dan van je bole lalu. Kereta dan motor ikut jalan lain yang disediakan. Tup-tup, bak lalu je jalan yang penuh air tu. Ya Allah, masa tengah-tengah jambatan tu, air dah masuk ke dalam kereta. Bila berselisih dengan lori, lagi la air masuk penuh habis tenggelam lantai kereta. Air kuning berlumpur. Orang dari kenderaan lain semua tengok ja gelagat bak bawak kereta. Kitaorang dah senyap dah masa tu risau. Sampai ja hujung jalan, bak punya suka sebab dapat harung banjir, sampai kata, baru betol wira ni...kitaorang tepuk dahi ja la tengok berani tak bertempat bak tu haha.

Tak da kerja cari kerja, sampai 2 hari dia jemur dan setelkan kereta tu jadi cantik macam biasa. Adoi bersungguh betol bak aku ni tau. Salute la...

Lagi satu kejadian tu, aku tengok dalm kereta tu penuh dengan barang macam peti ais kecik dan beberapa barang lagi. Bila tanya, dia kata kawan dia mintak tolong. Mak ai, selalu bukan main jaga, ni bole plak bawak barang kawan. Tak risau kereta kotor ke apa ke? Haish memang selalu pentingkan kawan dan perangai dia menurun ke aku, lebih utamakan kebajikan kawan-kawan dari diri sendiri.

Kereta ni jugak la aku banyak berhabis sebab beli sarung kusyen, tambah macam-macam aksesori, lampu lip lap kat luar pintu la, itu la, ini la, susun kereta mainan kecik-kecik kat dashboard dengan belakang kereta (anak aku pun tak berani sentuh sebab aku garang, cuit sikit kena kitai la tangan tu) hahaha...

Aku pakai kereta ni sampai habis tempoh bayaran dan kereta ni memang tak da problem. Sapa yang dapat kereta aku ni memang untung sangat sebab masa aku tolak kedai tu, aku tak ambik apa pun, semua bagi ja kat kedai kereta tu. Terimakasih jugak untuk sahabatku, Ju dan suaminya sebab banyak tolong aku masa ni. Jasa korang tak terbalas dan aku ingat sampai bila-bila.

Aku terpaksa jual kereta ni sebab nak buat downpayment rumah yang aku beli lagi sebiji dan jugak tak sanggup nak tengok kereta ni sebab mak dan bak ada bersama dalam kenangan kereta ni. Sedih dan sayu tak bole nak tengok sebab aku rindu.



3) Proton Wira 1.5 (Maroon / Pearl Orange) - Manual





Sepupu aku (Kak Biah) dan suami dia yang rekomen kereta ni. Beli kat kedai kawan diaorang. Cantik jugak kereta ni sebab yang guna cikgu perempuan dan jarang guna. berbaloi la sebab kelajuan kereta ni tip top. Puas hati membelinya. Puas jugak pakai dan lanyak kereta wira ni. Tak pernah rosak teruk hanya sekali ja accident dalam UTM bertembung dengan kereta lain kat simpang. Bertitik dari repair depan dan enjin ni la aku tukar warna kereta ni.

Sampai habis bayar kereta ni aku lenjan. Siap tukar kaler dari maroon ke oren. Bukan sebarang oren tau...tapi pearl colour (dari sisi ni nampak oren, sisi yang lain nampak kuning sikit dan berkilat diamond).

Seingat aku, dua kali kereta ni di overhaul, yang lain tak da masalah apa sebab aku memang jaga kereta ni macam bak aku jaga. Bila dah makin berumur ni, perangai makin ikut bak aku, pantang aku tengok orang makan minum dalam kereta, rasa menyirap ja tapi tak marah la. Cuma rasa tak syok ja risau tumpah dan bersepah. Bezanya aku suka basuh kat kedai sebab malas nak basuh sendiri muahahhaha...

Kereta ni luar dalam memang cantik dan kemas. Siapa dapat kereta ni pun memang untung la sebab semua dah ditukar baru. Semua kereta, aku pasang pedal lock. Biar keluar belanja sikit, asalkan harta kita tu tetap selamat. Mahal tau bukan murah ya nak dapat harta ni semua.

Kereta ni aku dah jual walaupun dengan hati yang berat sebab dah habis bayar. Mulanya nak repair bumbung bocor dan overhaul enjin yang mana harga bole tahan la RM7000. Tapi pikir balik, baik beli ja kereta baru sebab kereta tu dah lebih 10 tahun pun aku pegang. Nanti banyak pulak ragam dia rosak sana sini.

Fikir punya fikir jual je la dengan orang. Dapat la RM2000 ja. Kalau kedai amek RM1000 ja. Sedih gak nak lepaskan kereta ni sebab dah habis bayar.

Baru-baru ni nampak kereta tu kat jalanraya, rupanya orang berdekatan dengan taman aku ja beli. So hampir tiap hari aku nampak kereta tu. Geramnya bila tengok kereta tu tak di jaga dengan baik dek tuan baru. Luar kereta kotor tak berbasuh. Siap aku skodeng dalam kereta tu, mak ai punya la bersepah dalam tu dengan kertas dan makanan berterabur (skodeng dekat sebab aku tinted gelap). Tepuk dahi tengok kereta tu adoyai...!



4) Proton Saga 1.3 (Putih) - Manual





Selang 3 hari sebelum besday aku yang ke 41 tahun, aku terima hadiah paling istimewa dalam hidup aku. Grand prize cabutan bertuah berupa kereta proton saga dari pasaraya Giant. Syukur alhamdulillah. Aku ada citer kat blog kalau korang nak skodeng eh.

Dah 10 tahun dah usia kereta ni sekarang. Walaupun kereta ni manual, aku tak kan sekali-kali tukar ke kereta lain. Tak akan jual dan tak akan pindah milik. Lagi pun bagus jugak ada satu kereta manual so bole tukar-tukar drive. Anak-anak aku pun amek lesen manual biar pandai bawak semua jenis kereta. Nanti dah biasa bawak auto, bila bawak manual ja dah tak boleh.

Alhamdulillah setakat ni kereta ni tak pernah ada kerosakan yang teruk dan cun ja sampai sekarang. Maklum aku ja yang drive kereta ni cuma bila dah ada kereta baru ja sekarang, anak-anak gilir bawak kereta saga ni.

Aku plan nak bagi kaler baru la kat kereta ni sebab dah 10 tahun dah tak bertukar kaler. Nak bagi comel semula biar sedap mata memandang. Cun sebenarnya kereta proton saga ni hehe.



5) Honda BRV (Dark Brown) - Auto





Bila anak dah semakin besar, badan pun semua dah kalahkan ibu ayah, jadi bila nak travel mana-mana tu confirm la dah sempit kan? Belum tambah beg lagi. Beg aku ja dah menambun. So kitaorang decide nak cari la kereta besar dan luas sikit 7 seaters.

Plan awal nak beli exora atau alza. Tapi hati aku macam nak beli kereta import ja la plak. Berangan nak toyota innova sebab pernah pinjam kereta kawan aku dari KL ke Perak memang selesa la sebab luas (TQ Awie).

Dalam pada cari innova, avanza atau nissan serena, tetiba kaki kitaorang singgah ke kedai Honda. Kitaorang ni kalau nak beli apa pun, memang akan bincang sama-sama dan pergi tengok sama-sama dan akan vote.

Berkenan plak tengok Honda BRV ni. Semua pun suka. Aku lagi lah suka sebab pangkal H tu sesuai la untuk aku Hamidah. Tak gitu korang? Bak dulu pun suka kereta Honda alasan sama macam aku la. Lambang H tu yang mahal wakakaka...

Alhamdulillah, dah rezki, dapatlah aku miliki kereta Honda idaman dan pujaan hatiku. Syukur sangat.!



6) Kancil (Methalik Brown) - Manual





Haaa...ni kereta pengajaran namanya. Lalu lalang depan kedai kereta, ternampak la kereta kancil comel ni. Walau pun manual, tapi aku berkenan sebab owner dah ubahsuai beria kereta ni.

Paling best sekali bahagian bumbung yang bole buka tutup (berangan ala-ala kereta mewah bole keluarkan kepala atas bumbung hirup udara segar).

Konon nak surpisedkan hubby, so bincang dengan anak-anak trus bayar RM6500 cash dan bawak balik. Tengok muka hubby biasa ja sebab kalau diberi pilihan dia tak setuju beli kereta second hand. Rupa-rupanya aku yang tersurprised sendiri sebab nampak ja lawa dari luar tapi banyak yang rosak rupanya. Lagi la enjin turbo...hmmm.

Nak tak nak, pakai la jugak sebab dah beli. Aku buat pedal lock, alarm, tukar sport rim dan tukar radio. Pakai setengah bulan, asyik la repair itu ini. Sampai pomen pesan, kalau nak beli kereta second hand, kena bawak pomen yang pandai, jangan beli suka hati ikut lawa ja, ni la bahananya...padan muka aku.

Nak dijadikan citer, 2 bulan ja aku pakai kancil ni sebab tak tahan nak layan rosak ja. Memang rugi la sebab dah habis RM6000 bagi cantik, lepas tu jual laku RM5500 ja. Tak pa, terima ja la, at least dapat pengajaran kat situ.



7) Axia (Methalik Blue) - Auto





Plan lagi sekali nak beli kereta second yang memang aku minat. Kereta Swift. Tengok kat kedai, pikir balik semula, rasanya tak payah ambil kereta second kot sebab dah serik. Last beli kereta Axia sebab memang plan nak beli kereta kecik dan auto untuk senang parking kat mana-mana kalau ada keraian atau sebagainya. Kali ni bagi anak kedua pilih kereta apa yang dia nak sebab akan jadi hak milik dan dia akan guna.


Ada hati nak beli lagi sebuah kereta tapi parking takda. Lorong rumah aku kalau malam penuh dengan kereta parking sampai nak gerak pun susah. Jadinya aku hold dulu keinginan nak beli kereta lagi. Tunggu dapat rumah baru yang kitaorang tengah skodeng ni, halaman luas sikit, so boleh la ambil lagi sebiji kereta. Inshaallah !.




Ok gais, ni ja la yang dapat aku coretkan kat sini kali ni. Usaha tangga kejayaan, angan-angan jadi kenyataan. Jumpa lagi di lain episod...daaaa....!


Siap bulu mata hokay...





























































Cerita Saya Yang Korang Mesti Baca Jugak :)






Meed-Disney Store @ Shopee


Kacip Fatimah Phyto Plus Keluaran UTM Skudai      Tongkat Ali Phyto Plus Keluaran UTM Skudai

Virgin Coconut Oil (VCO) Keluaran UTM Skudai     Dermags Skincare Trial Set Keluaran UTM Skudai